Ada riwayat Muslim yang diterima dari
Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah
s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama
Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar.
Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang
bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata:
“Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?”
Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi
Allah aku me-nyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti
dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu
bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang
menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu
kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa
yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya
pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan
ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka
tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di
atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau
menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu
mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak
nampak mana jantina dan duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu:
“Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah
Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya
menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk
menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan
kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki
yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang
sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi,
begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya:
“Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah
mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa
kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia
berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak
besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di
lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan
tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan
binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali
jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa
maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke
tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin
berjumpa dengan kamu.”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat
ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa
tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan
mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku
keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam.
Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu
menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka
menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku
takut pokok itu tidak berbuah.”
Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan
kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang
tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih
ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air
sungai itu disangsikan akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu
berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa
yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke
Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh
orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang
Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia
terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah
mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang
begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang
besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah
Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan
menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku
jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat
memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka
aku tidak dapat menembusinya.”
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah
s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah
negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara
sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka
menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata lagi:
“Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu
bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya,
iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki
Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman.
Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah
s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.
Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi
bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa
Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.
by : husnaini wirayanti @wirayantih
Tidak ada komentar:
Posting Komentar